Rabu, 28 Mei 2008

Nasib Bayi Berwajah Dua Di India


PAKAR perubatan moden turut bingung melihat keadaan fizikal Lali.


KEBANYAKAN penduduk tempatan menggelarnya sebagai bayi ajaib. Apa tidaknya, Lali yang kini baru berusia lebih sebulan itu dilahirkan dengan membawa penampilan fizikal cukup aneh - memiliki dua wajah.

Keadaan tersebut yang dirujuk dalam dunia perubatan moden sebagai Craniofacial Duplication menyaksikan kanak-kanak unik ini turut mempunyai dua mulut, dua hidung dan empat mata; semuanya berpasangan.

Di kampung kelahirannya, bandar Noida yang terletak 50 kilometer ke timur laut ibu kota India, New Delhi; keadaan bayi itu menjadikan dirinya bukan sahaja sebagai objek yang memukau, malah dihormati.

"Apabila kali pertama melihat dia dilahirkan pada 11 Mac lalu, saya sendiri cukup takut, tetapi ini memang normal bagi sesiapa pun," kata bapanya, Vinod Kumar Singh. "Kini saya rasa seperti lebih dirahmati."

Beberapa doktor malah pernah memberitahunya bahawa biarpun anak itu memiliki dua muka, Lali sebenarnya masih sihat dan dianggap normal. Bayi ini mampu minum susu sama ada menerusi mulut dan bernafas baik.

Kumar bagaimanapun hanyalah seorang pekerja ladang yang miskin. Namun meskipun rumahnya yang diperbuat daripada lumpur dan batu-bata di hujung lorong sempit berdebu, jiran-jiran tampil menawarkan bantuan.

Tetangga mereka bahkan menyediakan cat untuk mewarnakan semula dinding luar rumah. Di bahagian dalam, penduduk kampung kelihatan mendodoi dan mengelilingi buaian manakala yang lain cuma melihat.

Untuk beberapa hari sejak dilahirkan, orang ramai malah sanggup beratur panjang untuk menziarahi Lali. Ada membawa wang untuk membeli bayi itu dengan percaya, Lali turut memiliki banyak kuasa sakti.

"Ini lumrah apabila orang melihat sesuatu yang luar biasa, mereka mengaitkan dengan keajaiban ciptaan Tuhan," kata Jatinder Nagar, seorang jiran yang juga mengubah dirinya sebagai pemandu pelawat.

"Ia sesuatu yang dianggap ajaib sehinggakan kami sendiri mempercayai bahawa bayi ini secara tersirat sebenarnya adalah salah satu daripada manusia jelmaan dewi tuhan dalam agama Hindu," tambah beliau lagi.

Pandangan itu turut dikongsi nenek Lali, Ballabh Saini yang berusia 80 tahun dan amat dihormati oleh penduduk sebagai ketua kampung itu. Beliau sepanjang hari sentiasa mendukung cucunya dengan penuh hormat.

"Lali membawakan kami kemasyhuran dan ibarat restu daripada Tuhan," kata Ballabh. "Ramai orang sudah datang untuk lihat dia dan sanggup berjalan dari jauh dengan kereta, motosikal malah kereta lembu."


DIPANGKU ibunya, Sushma bersama suami, Kumar, bayi ini merupakan anak sulung pasangan miskin berasal dari kampung Saini Sunpura dekat Noida.


Bagaimanapun, situasi kini turut menyebabkan Kumar semakin tidak selesa dan kadang-kala kecewa. "Dia anak perempuan saya. Saya tidak mahu dilayan lebih lagi. Saya makin berasa bosan pula," keluh beliau.

Namun dia pasrah dengan kepercayaan tahyul orang ramai. Berdepan dengan sesuatu yang sukar difahami, penduduk kampung malah percaya, Lali merupakan kelahiran semula daripada salah satu tuhan Hindu.

Terdapat juga cadangan untuk membina sebuah kuil khas sebagai tanda hormat kepada keajaiban Lali biarpun bayi itu masih kecil untuk memahami erti sanjungan luar biasa oleh masyarakat ke atas dirinya.

Dalam pada itu, doktor-doktor di Delhi turut bingung dan membayangkan kemungkinan besar, tiada harapan untuk membuang salah satu daripada mukanya seperti dalam kes pembedahan biasa terhadap bayi kembar siam.

Mereka juga enggan mengambil risiko untuk menjalankan ujian perubatan untuk menentukan sama ada organ-organ dalaman pada bayi itu adalah normal sementelahan ibu bapa kanak-kanak tersebut enggan memberi izin.

"Apakah bentuk keperluannya? Setakat ini yang kami tahu, dia juga seperti kanak-kanak lain," tegas Kumar. "Dan kami sekarang hanya mahu bergembira dengan anak sulung kami buat masa ini." - Agensi

Tidak ada komentar:

Posting Komentar